
PETALING JAYA: Kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) meningkat dengan ketara tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata sehingga 14 Mei sejumlah 31,661 kes HFMD dilaporkan iaitu peningkatan 15 kali ganda bagi tempoh sama tahun lalu.
“Bagi tahun 2022, sehingga hari terakhir ME 19/2022 (pada 14 Mei 2022), sejumlah 31,661 kes HFMD telah dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 15 kali ganda berbanding pada tahun
2021 sehingga ME yang sama, iaitu hanya mencatatkan 2,121 kes.
“Manakala kes dilaporkan bagi ME 19/2022 adalah 7,526 kes berbanding ME 18/2022 iaitu hanya 1,676 kes di seluruh negara, di mana peningkatan sebanyak 349%,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiga negeri tertinggi mencatatkan kes ini ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 309 kes atau 35%, diikuti Selangor 111 kes (12%), dan Perak 105 kes (12%).

Majoriti lokasi penularan kes HFMD berlaku di tadika, taska dan pra-sekolah dengan 575 kes dilaporkan atau 65%.
Diikuti di rumah persendirian dengan 305 kes (34%) dan pusat jagaan kanak-kanak 27 kes (3%).
“Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 29,781 kes (94%), diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 1,473 kes
(5%),” katanya.
Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan ciri terbaru semakan status penyakit berjangkit di kawasan sekitar (Infectious Disease Tracker) dalam aplikasi
MySejahtera bagi kes penyakit berjangkit seperti penyakit COVID-19, Anjing Gila (Rabies), Demam Campak (Measles), Denggi, dan HFMD di kawasan sekitar.
Ciri ini boleh membantu orang awam untuk menyemak status titik merah dan pelaporan kes-kes penyakit berjangkit di sesebuah kawasan.